Kitab Munyatul Musolli adalah sebuah kitab yang telah sekian
lama digunakan dalam pembelajaran fiqh solat terutamanya di sekitar Nusantara. Kitab
ini hasil karangan seorang ulama yang berasal dari Pattani, Sheikh Daud
Abdullah Al-Fattani.
Kitab ini dinamakan "Minyatul Musolli" [مِنْيَةُ الْمُصَلِّى].
Boleh juga dibaca "Munyatul Musolli" [مُنْيَةُ
الْمُصَلِّى]. Kalimah
"minyah" [مِنْيَةُ] ialah
kalimah mufrad atau 'singular', jamak [مِنَن] atau [مُنَن] dengan membawa maksud 'orang yang amat
berkehendak' ataupun 'sesuatu yang amat dikehendaki'. Ringkasnya, ia dibaca
dengan maksud ‘Cita-Cita Orang Yang Bersembahyang’.
Kitab ini dikategorikan sebagai salah satu kitab asas yang
diajar di sekolah-sekolah pondok dan madrasah yang terletak di Malaysia, Indonesia
dan selatan Thailand. Malahan, kitab ini juga menjadi teks rujukan kelas takmir
dan kuliah-kuliah di masjid dan surau seluruh tanah air.
Bercerita tentang kitab ini, asas penulisan kitab tertumpu
kepada membicarakan ibadah solat yang merupakan rukun Islam yang dilakukan lima
kali sehari. Secara amnya, kesemua aspek ibadah solat, baik dari asas rukun
dan syaratnya serta tentang kelebihan
solat ada diterangkan didalam kitab ini.
CETAKAN
Pada asalnya, kitab ini ditulis menggunakan bahasa Melayu
Pattani, seperti kebiasaan kitab-kitab lain yang dikarang ulama Nusantara. Unsur
bahasa ala klasik seperti ini menjadi medium kebanyakkan kitab-kitab turath di
Nusantara.
Beberapa syarikat turut mengulang cetak kitab tersebut,
antaranya Percetakan Al-Maarif di Pulau Pinang. Cetakan ini lebih teratur
tulisan jawinya tetapi masih mengekalkan tulisan jawi tanpa perenggan dan tanda
noktah.
Kurangnya pengetahuan tentang tulisan jawi membuatkan
beberapa syarikat penerbitan cuba menerbitkan semula kitab ini. Diantaranya
ialah Al-Hidayah Publisher yang telah menerbitkan kitab ini dalam versi rumi
dan mengekalkan struktur bahasa Melayu Pattani.
Manakala, sebuah lagi syarikat penerbitan, Jabal Maraqy
Enterprise pula menerbitkan kitab ini, kali ini mereka telah mengolah semula bahasa
didalam kitab ini kepada Bahasa Melayu Moden. Hal ini disebabkan semakin
kurangnya ilmu pengetahuan dalam mendalami kitab-kitab ini yang kebanyakkannya
ditulis dalam Bahasa Melayu Pattani.
Biodata penulis
Sheikh Daud Abdullah Al-Fatani
- - Nama sebenar beliau ialah Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan
Abdullah bin Syeikh Wan Idris
- - Lahir di Kerisek, Wilayah
Pattani di Selatan Thailand pada 1769 Masehi
- - Mendapat pendidikan awal
dari ayah dan datuknya serta di pondok sekitar Pattani sebelum melanjutkan pelajaran ke Acheh.
-
Seterusnya, berangkat ke
Mekah untuk menuntut ilmu selama 30 tahun dan belajar di Madinah selama 30
tahun
-
Wafat di Taif pada 1847 M
dan dikebumikan berhambiran kuber sepupu Rasulullah SAW iaitu Abdullah bin Abbas
No comments:
Post a Comment